Latar Belakang

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang bertanggungjawab menyedia, menghasil, menerbit dan membekal data ladang ternakan akuakultur yang berdaftar bagi menyediakan kajian perancangan teknikal, penyediaan rangka pelan pembangunan, pengurusan dan perlindungan sumber alam semulajadi agar ia terus menjamin pembangunan lestari dan dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi secara seimbang, mampan dan teratur.

Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang bertanggungjawab melaksanakan pembangunan sistem/pakej aplikasi berteraskan remote sensing dan teknologi-teknologi lain yang berkaitan dan perkhidmatan imej satelit remote sensing melalui sistem aplikasi yang dioperasi secara berpusat di ARSM. Ia dibangunkan untuk kegunaan agensi-agensi Kerajaan bagi memudah dan memantapkan lagi perancangan dan pengurusan yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, perhutanan, sumber asli dan alam sekitar, pengauditan, kesihatan persekitaran, pembangunan fizikal dan infrastruktur, bencana, ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara.

DOF, melalui Bahagian Biosekuriti Perikanan; dan ARSM bersetuju untuk bekerjasama dalam meningkatkan penggunaan teknologi remote sensing dan teknologi-teknologi lain yang berkaitan seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Information and Communication Technology (ICT) ("teknologi remote sensing dan teknologi berkaitan") bagi pengurusan dan pemantauan aktiviti biosekuriti perikanan yang lebih cekap dan berkesan berdasarkan Nota Kerjasama DOF-ARSM yang dimeterai pada 27 November 2018.